"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Ubay tegas dan yakin.Tiba-tiba mata Fulanah merah, air mata mula bergelinang di kelopak bawah.
"Tak sangka awak sudah beristeri! Awak jahat! Sanggup mempermainkan hati saya. Awak ingat saya tiada maruah? Hah!" pekik Fulanah dengan suara tersekat-sekat.
Mata Ubay liar melihat kiri kanan, mungkin ada sesiapa yang memandang perlakuan dia dan Fulanah. Bukan takutkan pandangan manusia, tetapi lagak Fulanah langsung tidak selari dengan penampilannya.
"Saya ingat kita lama berkawan, awak masih bujang. Tapi rupa-rupanya… " Fulanah mula sebak.
"Tak. Maksud saya…"
"Sudah! Jangan bermulut manis lagi. Cukup!" potong Fulanah dengan kasar.
"Awak nampak macam alim, tapi sanggup menipu saya. Dan awak sanggup melamar saya menjadi isteri kedua awak. Awak ingat saya ni siapa?" suara Fulanah semakin tinggi, setinggi egonya.
Ubay diam seribu bahasa. Dia sudah tahu `Fulanah' di sebalik Fulanah yang dia kenal selama ini. Fulanah bergegas dari situ sambil mengelap air mata dengan tudung labuhnya berwarna kuning. Dalam hatinya, Ubay seolah-olah menghinanya apabila memujuknya untuk bermadu. Ubay muram. Namun masih terselit kekecewaan di sudut hatinya. Kekasih hatinya belum bersedia rupa-rupanya.
"Ada hikmah," bisik hati kecil Ubay , sekecil pandangannya terhadap Fulanah.
Hujung minggu berjalan seperti biasa. Program-program dakwah menyibukkan jadual Ubay sebagai seorang muslim yang beramal dengan apa yang diyakininya. Duitnya banyak dihabiskan untuk memenuhi tuntutan dakwah yang seringkali memerlukan pengorbanan yang tidak berbelah bahagi. Namun, hatinya tegas dan yakin bahawa inilah jalannya. Jalan yang membawa dia menemui Tuhannya dengan hati yang tenang serta bahagia di hari kelak. Keyakinan serta keaktifan Ubay berdakwah sedikit sebanyak memenangi hati gadis-gadis dalam persatuannya. Malah, Ubay dilihat sebagai calon suami yang bakal memandu keluarganya nanti ke arah memperjuangkan agama yang dianutinya sejak sekian lama.
Sudah terlalu ramai muslimah yang menaruh hati padanya, namun, Fulanah terlebih dahulu rapat dan memenangi hati Ubay . Bagi Fulanah, Ubay seperti pelengkap kepada dirinya. Namun, hanya sehingga saat Ubay melamarnya menjadi isteri kedua. Ubay masih lagi aktif dalam dakwah meskipun hubungannya dengan Fulanah nampak seperti tiada jalan penyelesaian. Dia mahu berbaik dengan Fulanah, namun sikap Fulanah yang keras dan kurang memahami erti dakwah membantutkan usaha Ubay tersebut.
Bagi Fulanah, Ubay tak ubah seperti lelaki lain. Gerak kerja dakwah Ubay berjalan seperti biasa. Siangnya ke hulu kehilir memenuhi program serta amal jariah kepada masyarakat. Malamnya sibuk dengan mesyuarat dengan sahabat-sahabat seangkatannya. Ubay semakin percaya jalan dakwahnya, sama sekali dia tidak akan berganjak dari jalan ini hatta datang ancaman sebesar gunung sekalipun. Dia terlalu matang, jauh sekali daripada pemikiran pendakwah lain yang semudanya. Namun, Allah s.w.t. Maha Mengetahui lagi Maha Pemurah. Sekali lagi Dia menghantar seorang perempuan bagi menguji Ubay – sama ada dia menjadi pemangkin atau perencat bagi dakwah Ubay .
Suatu petang dalam suatu program dakwah di sebuah madrasah, Ubay dikejutkan dengan luahan ikhlas dari sahabat lamanya, Humayra’. Ubay sekali lagi gusar takut-takut Humayra’ tidak dapat menjadi sayap kiri perjuangannya selepas berumahtangga nanti. Isteri pertamanya sudah pasti membawa Ubay menemui Tuhannya, namun, Humayra’ yang kurang dikenalinya adakah sama seperti Fulanah atau tidak? Ubay bercelaru, tetapi tidak bermakna lamaran Humayra’ ditolak. Dia meminta sedikit masa untuk memikirkan keputusan tersebut. Setelah merisik pemikiran Humayra’ daripada beberapa sahabat terdekatnya, Ubay berjumpa dengan Humayra’ bertemankan sahabat baiknya.
Dengan tegas dan yakin, sekali lagi Ubay mengulangi soalan yang pernah ditanya kepada Fulanah.
"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Ubay tanpa segan silu.
"Sudi," jawab Humayra’ ringkas.
"Er, betul ke ni?" tergagap Ubay menerima jawapan Humayra’ yang tenang dan yakin.
Humayra’ mengangguk kepalanya sedikit. Langsung tiada rasa takut mahupun kecewa apabila lamaran sebagai isteri kedua yang dilafazkan oleh Ubay .
"Kenapa saya?" tanya Ubay ingin tahu.
"Saya ingin membantu gerak kerja dakwah awak," jawab Humayra’ yakin tetapi sedikit malu.
"Baiklah," jawab Ubay tersenyum.
Akhirnya, Ubay dikurniakan sayap kiri yang sangat membantu dalam gerak kerja dakwahnya selama ini. Setelah seminggu mendirikan rumahtangga bersama Humayra’, Ubay terasa dakwahnya semakin laju. Jadualnya senang, pakaiannya dijaga, makannya disedia. Malah, Humayra’ sangat membantu gerak kerja Ubay semampu mungkin. Setiap kali turun ke lapangan untuk berdakwah, Ubay membawa Humayra’ untuk membantu kerja dakwah seadanya. Kadang-kala letih menyinggah Humayra’. Suaminya terlalu kerap keluar berdakwah, seperti mesin yang tiada hayat. Namun, inilah yang dia yakini sebelum berkahwin dengan Ubay . Membantu suami melancarkan gerak kerja dakwah. Humayra’ juga berjaga-jaga takut dirinya pula yang menjadi pembantut atau penghalang dakwah suaminya.
"Abang, saya nak tanya boleh?" sapa Humayra’ dalam kereta sewaktu dalam perjalanan ke sebuah program dakwah.
"Ye sayang?" jawab Ubay sambil memandu.
"Abang tak pernah pun bawa saya jumpa isteri pertama abang," luah Humayra’ yang sangat teringin berjumpa dengan madunya.
"Dah sampai sana nanti, kita akan jumpa," Ubay menoleh sedikit ke arah Humayra’, sambil tersenyum.
"Yeke? Dia datang program tu rupanya," jawab Humayra’ riang.
Hatinya berdebar ingin berjumpa madunya yang banyak membantu Ubay dalam gerak kerja dakwah. Di sudut kecil Humayra’, dia merendah diri kerana usahanya membantu dakwah suaminya hanya sedikit berbanding dengan isteri pertama Ubay yang banyak membantu selama ini. Tidak hairanlah Ubay aktif dalam dakwah sebelum ini.
"Kita dah sampai," Ubay membuka pintu keretanya sambil memegang beg berisi fail di tangannya.
Ubay berdiri, mengadap ke arah sebuah khemah di hadapan masjid, lalu menoleh ke arah Humayra’ yang berdiri di sebelah kiri kereta.
"Itu isteri pertama abang," Ubay menuding jari ke arah khemah tersebut
"Mana bang?" Humayra’ mengecilkan matanya, fokusnya mencari arah jari Ubay .
"Tak nampak pun," Humayra’ meninggikan sedikit hadapan kakinya.
"Siapa nama isteri pertama abang?" Humayra’ sangat berdebar.
Ubay tersenyum lebar, memandang Humayra’ penuh tenang.
"PERJUANGAN, " jawab Ubay .
kalau isteri/ suami itu disinonimkan dengan komitmen, perjuangan itu adalah pasangan kita yang ke berapa?
dipetik dari seorang sahabat~
Assalammualaikum..
ReplyDeleteCerita tu menarik.. Boleh tahu, setakat mana kesahihan cerita tu..?
Aku ingatkan isteri pertama dia, Allah atau agama Islam tadi.. rupanya perjuangan dia dalam menyebarkan Islam.
Bagus2 aku suka..banyak pengajaran.
waalaikummussalam..
ReplyDeletekesahihan?if dalil or nas Al-Quran boleh ak dapatkan kesahihan. tapi ini mungkin cerita yang diubah suai sebagai teladan dan pengajaran.
perjuangan dalam menyebarkan Islam berkait rapat dengan hubungan kita dengan Allah dan Islam.jadi, isteri pertamanya itu keseluruhan yang berkaitan dengan Islam dan Rabb.
thanks..aku pun suka. aku ingt dia betul2 ada 1st wive td. angin jugak..haha
p/s: if perjuangan nak rebut jawatan, memmang sah bukan..heheh